BENGKEL TEKNIKAL UKUR ARAS GNSS (GNSS LEVELLING) UNTUK JURUUKUR TANAH BERLESEN TAHUN 2026
PEJUTA telah berjaya menganjurkan Bengkel Teknikal Ukur Aras GNSS (GNSS Levelling) khusus untuk Juruukur Tanah Berlesen dan kakitangan (juruukur). Program latihan secara intensif ini telah berlangsung selama empat hari, bermula pada 30 September hingga 3 Oktober 2026, bertempat di Avillion Admiral Cove, Port Dickson.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memantapkan pemahaman teori serta kemahiran praktikal para peserta dalam mengaplikasikan teknologi Global Navigation Satellite System (GNSS) bagi kerja-kerja ukur. Sepanjang empat hari berkursus, para peserta telah didedahkan kepada modul pembelajaran yang komprehensif merangkumi asas Teori Ukur Aras GNSS, kaedah cerapan GNSS Real-Time Kinematic (RTK) In-Fill dan Statik, serta taklimat teknikal bagi cerapan GNSS statik berbilang sesi.
Selain daripada sesi teori, para peserta turut terlibat secara aktif dalam latihan amali merangkumi cerapan di lapangan,pemprosesan dan analisis data GNSS, serta pelarasan jaringan (network adjustment) bagi memastikan ketepatan data ukur memenuhi piawaian yang ditetapkan. Bagi melengkapkan pengisian program, para peserta juga telah dibawa mengadakan lawatan teknikal ke Stesen Continuously Operating Reference Station (CORS) MyRTKnet untuk memahami secara lebih mendalam peranan serta operasi infrastruktur pemetaan berkenaan.
Secara keseluruhannya, bengkel teknikal ini telah menjadi platform berkesan dalam meningkatkan kompetensi profesional dan keupayaan teknikal para ahli PEJUTA. Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen PEJUTA dalam memastikan ahli sentiasa sejajar dengan pemodenan teknologi dan amalan terbaik dalam industri ukur di Malaysia.

























