THE 13TH NATIONAL GEOMATICS / GEOINFORMATICS STUDENTS INNOVATION COMPETITION (NGGSIC 2026)

PEJUTA > Social & Sport > THE 13TH NATIONAL GEOMATICS / GEOINFORMATICS STUDENTS INNOVATION COMPETITION (NGGSIC 2026)

THE 13TH NATIONAL GEOMATICS / GEOINFORMATICS STUDENTS INNOVATION COMPETITION (NGGSIC 2026)

Persatuan Juruukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) telah menyertai The 13th National Geomatics / Geoinformatics Students Innovation Competition (NGGSIC 2026) sebagai pempamer bagi mempromosikan profesion Juruukur Tanah Berlesen serta bidang geomatik kepada para pelajar dan pengunjung.

Program ini merupakan anjuran bersama Fakulti Alam Bina (FAB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dan Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) dengan tema “Geospatial Metaverse, Empowering Heritage”. Pertandingan ini menjadi platform yang menghimpunkan pelajar, ahli akademik, agensi kerajaan serta pemain industri dalam bidang geomatik dan geoinformatik untuk berkongsi idea, inovasi dan perkembangan teknologi geospatial.

Sebagai pempamer, PEJUTA telah membuka ruang pameran yang memfokuskan kepada:

  • memperkenalkan profesion Juruukur Tanah Berlesen kepada pelajar dan orang awam;
  • mempromosikan peranan serta skop perkhidmatan yang disediakan oleh Juruukur Tanah Berlesen;
  • memberi penerangan mengenai laluan kerjaya dan syarat-syarat untuk menjadi seorang Juruukur Tanah Berlesen di Malaysia; dan
  • berkongsi maklumat mengenai aktiviti, program pembangunan profesional serta inisiatif yang dilaksanakan oleh PEJUTA bagi membangunkan kompetensi ahli dan bakal profesional dalam bidang geomatik.

Penyertaan PEJUTA mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar yang berminat mendapatkan maklumat berkaitan peluang kerjaya, latihan praktikal, laluan menjadi Articled Person (AP) serta proses memperoleh lesen sebagai Juruukur Tanah Berlesen. Sesi interaksi secara langsung ini memberi peluang kepada pelajar memahami dengan lebih jelas peranan profesion tersebut dalam industri geeomatik.

NGGSIC 2026 telah menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Geomatika Malaysia (UGM) serta beberapa politeknik dan institusi pendidikan tinggi yang menawarkan program berkaitan geomatik dan geoinformatik.

Sebanyak 59 penyertaan telah dipertandingkan menerusi empat kategori utama, yang mempamerkan pelbagai hasil inovasi dan penyelidikan dalam bidang geomatik, geoinformatik dan teknologi geospatial. Pertandingan ini turut menjadi platform bagi memupuk budaya inovasi, kreativiti serta penyelesaian berasaskan teknologi geospatial dalam kalangan pelajar.

Selain penyertaan sebagai pempamer, LSr Dr. Noordin bin Ahmad, Naib Presiden PEJUTA, turut dijemput sebagai pembentang, sekali gus memperkukuhkan penglibatan PEJUTA dalam menyokong pembangunan akademik, penyelidikan dan profesionalisme dalam bidang geomatik di Malaysia.

Secara keseluruhannya, penyertaan PEJUTA dalam NGGSIC 2026 berjaya mencapai objektif untuk meningkatkan kesedaran mengenai profesion Juruukur Tanah Berlesen, mengukuhkan hubungan strategik dengan institusi pengajian tinggi serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang geomatik sebagai kerjaya profesional. Program ini juga memperlihatkan komitmen berterusan PEJUTA dalam menyokong pembangunan modal insan dan kemajuan teknologi geospatial selaras dengan keperluan industri serta aspirasi negara.