Open Day JKPTG Sempena Hari Tanah Negara (HTN) Ke-10 Tahun 2026 (Anjuran Bersama JKPTG & PEJUTA)
PEJUTA telah bersama-sama menjayakan Program Open Day anjuran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) sempena Sambutan Hari Tanah Negara (HTN) Ke-10 Tahun 2026. Program yang berlangsung pada 18 Julai 2026 ini memilih Ruang Legar Utama, Aras 2, Stesen Sentral Kuala Lumpur sebagai lokasi strategik bagi memudahkan akses orang awam.
Penglibatan aktif PEJUTA menerusi pembukaan pameran khas memberi fokus utama kepada promosi dan pendedahan bidang geomatik kepada komuniti umum. Menerusi pameran ini, orang ramai berpeluang memahami peranan geomatik dan Juruukur Tanah Berlesen (JTB) dalam perancangan serta pembangunan infrastruktur negara.Selain meningkatkan kesedaran awam, inisiatif ini juga bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap bidang geomatik sebagai salah satu kerjaya profesional yang berdaya saing dan bernilai tinggi.
Sepanjang program berlangsung, ahli JTB daripada PEJUTA telah turun padang bagi memberikan khidmat konsultasi percuma kepada pengunjung. Sesi khidmat nasihat ini merangkumi pelbagai aspek teknikal dan perundangan berkaitan urusan tanah, penentuan sempadan lot, hakmilik, serta perkhidmatan profesional yang disediakan oleh JTB.
Pengunjung dapat menikmati konsultasi sehenti bagi pelbagai isu pentadbiran tanah. Ini termasuklah khidmat nasihat mengenai pengurusan pusaka, strata, sistem e-Tanah dan MyLAND, pajakan serta sewaan tanah Persekutuan, hinggalah ke urusan pengambilan tanah. Penyertaan PEJUTA dalam HTN Ke-10 ini bukan sahaja membuktikan komitmen berterusan persatuan dalam memperkasakan profesion ukur tanah, malah berjaya memperkukuh jaringan kerjasama antara badan profesional swasta dan agensi kerajaan demi kesejahteraan masyarakat.